Wednesday, 21 March 2012

SITUASI 12: BAHASA HALUS


  


Bahasa halus ialah bahasa yang lebih sopan dan lebih manis serta tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar atau membaca. Selain itu, bahasa halus juga merupakan penggunaan bahasa yang beradat dan bersopan serta menggunakan segala strategi untuk kemanisan berbicara. Menurut Fries, 85% daripada bahasa yang wujud adalah dalam bentuk pertuturan sementara bentuk penulisan dianggap sebagai secondary language (bahasa sekunder). Oleh itu kebolehan menggunakan ‘bahasa halus’ dalam pertuturan (lisan) dianggap sebagai sesuatu kemahiran penting dalam adat resam serta dapat menunjukkan tahap ketajaman minda. Bahasa halus ialah satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat Melayu serta satu kemahiran lisan yang unik Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, perkataan mati boleh digantikan dengan meninggal dunia, atau pulang ke rahmatullah, orang gaji boleh digantikan dengan pembantu rumah, dan jaga boleh digantikan dengan pengawal keselamatan.


Situasi bahasa halus:
Semasa saya menemani emak saya menziarahi jiran yang telah meninggal dunia saya terdengar perbualan orang ramai yang menziarahi arwah. Sebagai contoh:

    “Arwah meninggal dunia sebab apa?” tanya seorang mak cik.

    “Arwah kemalangan jalan  raya  semalam  sewaktu balik dari kerja”
     jawab kawannya.

    “Oooo..Yeke?Bila arwah hendak disimpan?” tanya mak cik itu 
       lagi.

    “Insyallah, selepas asar jenazah akan dikebumikan.


Berdasarkan ayat tersebut, terdapat penggunaan bahasa halus dalam perbualan. Dalam konteks perbualan tersebut menunjukkan penggunaan  sistem ganti nama dan perkataan yang halus betul dan tepat serta bersopan santun. Penggunaan perkataan-perkataan tertentu misalnya, dalam suasana kematian perkataan, ‘mayat’ digantikan dengan ‘jenazah’, ‘mati’ disebut ‘meninggal dunia’,  “Bila simpan?” bukannya, “Sudah tanam?” ‘Arwah, ‘Allahyarham, mendiang, Almarhumah’ bukannya ‘si mati’.
            Oleh itu, setiap individu perlulah menjaga gaya bahasa dan pertuturan mereka semasa berhadapan atau bercakap dengan orang ramai. Hal ini penting kerana setiap individu itu mempunyai tanggapan yang berbeza. Penggunaan bahasa halus yang meluas dapat memberi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat tentang budi bahasa. Di sinilah kehalusan budi bahasa yang mencerminkan ketertiban sesebuah masyarakat dapat dinilai.


Komen : Kegagalan masyarakat dalam mempraktikkan penggunaan bahasa halus sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah wujudnya budaya lisan yang biadab dan timbulnya pelbagai bentuk budaya sosial. Oleh itu, marilah kita mula berbahasa halus semula. Itulah lambang budaya bahasa kita sejak berzaman kerana “Bahasa melambangkan peribadi seseorang”.



No comments:

Post a Comment