Semalam saya telah membaca
sebuah buku iaitu Koleksi Pedoman Bahasa yang telah dikeluarkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka. Berdasarkan pembacaan, saya tertarik dengan isu kekeliruan
ejaan yang berkaitan dengan perkataan Yang
Dipertua, Yang di-Pertua, Yang Dipertuan dan Yang di-Pertuan. Hal ini demikian kerana pengguna bahasa Melayu masih
keliru mengeja frasa Yang Dipertua, Yang di-Pertua, Yang Dipertuan dan Yang
di-Pertuan. Kekeliruan ini mungkin disebabkan oleh ketidakselarasan
penggunaan frasa tersebut, terutamanya dalam media cetak seperti akhbar dan
majalah.
Menurut pihak
Dewan Bahasa dan Pustaka mulai tahun 2000 melalui Jawatankuasa Biro Pergaduan
Bahasa telah memutuskan untuk menyelaraskan ejaan bagi frasa tersebut. Tiga
bentuk penulisan yang betul telah diputuskan iaitu Yang Dipertua, Yang
di-Pertua, dan Yang di-Pertuan
manakala ejaan Yang Dipertuan dianggap
salah. Penggunaan ketiga-tiga frasa tersebut adalah khusus untuk jawatan atau
pangkat tertentu. Di sini saya sertakan fungsi dan contoh berkaitan dengan
penggunaan frasa tersebut.
(i) Frasa Yang
Dipertua digunakan khusus untuk ketua bagi sesebuah organisasi atau
pertubuhan, contohnya:
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu
Yang Dipertua Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Cina Malaysia
(ii) Frasa Yang
di-Pertua digunakan bagi ketua dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan
Negeri, contohnya:
Yang di-Pertua Dewan Negara
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Yang di-Pertua Dewan Negeri
(iii) Frasa Yang
di-Pertuan pula digunakan khusus untuk ketua negara dan ketua negeri,
contohnya:
Yang di-Pertuan Agong
Yang di-Pertuan Besar (Negeri Sembilan)
Yang di- Pertuan Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah,
Sarawak)
Oleh itu, berdasarkan penjelasan
tersebut diharapkan kekeliruan tidak lagi berlaku kepada pengguna bahasa Melayu
kerana bentuk ejaaan ini adalah selaras dengan bentuk yang digunakan secara
rasmi oleh Jabatan Perdana Menteri dan bentuk ini juga telah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment