Monday, 30 April 2012

SITUASI 36: PERANCANGAN BAHASA


Perancangan bahasa merujuk kepada usaha untuk memupuk, membaiki dan mengembangkan sesuatu bahasa kearah bahasa moden. Beberapa usaha telah dibuat antaranya membuat keputusan dasar tentang bahasa, menyeragamkan variasi bahasa dan memupuk usaha pengembangan bahasa. Selain itu, usaha lain ialah mengumpulkan data dan menyusun strategi untuk memajukan bahasa. Aktiviti perancangan bahasa Melayu terdiri daripada perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa.

Perancangan Taraf Bahasa
Perancangan taraf bahasa merujuk kepada usaha meluaskan dan meningkatkan  taraf penggunaan atau peranan bahasa dalam masyarakat. Usaha ini melibatkan pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar dalam sistem pendidikan negara.  Dalam perancangan taraf bahasa terdapat akta yang melibatkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Perancangan Korpus Bahasa
Perancangan korpus bahasa juga diistilahkan sebagai perancangan bahan bahasa. Aktiviti perancangan korpus bahasa melibatkan usaha menetapkan kosa kata, ejaan, istilah, tatabahasa dan sebutan yang menjadi bahan sesuatu bahasa. Secara umumnya, usaha ini melibatkan kerja-kerja pembinaan bahasa yang terdiri daripada pengekodan dan pemupukan. Pengekodan bermaksud penyeragaman bahan-bahan bahasa supaya menghasilkan suatu variasi bahasa baku atau bahasa standard yang sempurna dan seragam. Pemupukan pula merujuk kepada usaha yang dilakukan untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan  saling menterjemah dengan beberapa bahasa moden lain.

No comments:

Post a Comment