Thursday 5 April 2012

SITUASI 24: BAHASA RASMI


Bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya. Bahasa rasmi tidak perlu merupakan bahasa kebangsaan kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang semata-mata dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan semangat kebangsaan. Bahasa melayu telah dijadikan bahasa rasmi. Biasanya bahasa rasmi dipilih daripada salah satu bahasa anak negeri dan ada kalanya dipilih bahasa bekas penjajah. Bagi negara yang mempunyai bahasa yang maju, bahasa yang banyak laras bahasanya akan diangkat menjadi bahasa rasmi. Contohnya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi kerana bahasa ini dapat digunakan sebagai bahasa ilmu dan dapat difahami umum.

Sebagai bahasa rasmi bahasa Melayu ditetapkan menjadi sarana komunikasi dalam bidang pentadbiran. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa rasmi digunakan untuk semua urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga badan berkanun. Contohnya dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah telah menggunakan bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah bertambah baik setelah Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dipinda (Jun 1991). Selain itu, bahasa rasmi digunakan dalam penulisan surat-surat rasmi kerajaan seperti borang permohonan, minit mesyuarat, urusan pos dan dokumen peribadi iaitu sijil kelahiran. Oleh itu,penggunaan bahasa rasmi sangat dititikberatkan dalam banyak aspek dan kegiatan yang melibatkan protokol.

No comments:

Post a Comment