Wednesday, 4 April 2012

SITUASI 23: BAHASA BAKU


Bahasa baku adalah satu jenis bahasa yang menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan fungsi bahasa yang menggunakan loghat bahasa yang paling betul bagi sesuatu bahasa. Selain itu, bahasa baku juga digunakan dalam sistem pendidikan negara, dalam urusan rasmi kerajaan, dan juga dalam semua konteks rasmi. Dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat atau semasa mengajar, misalnya, kita harus menggunakan bahasa baku. Di samping itu, kita juga harus menggunakan bahasa baku dalam surat-menyurat rasmi, laporan, tulisan ilmiah, rencana, barita, peraturan, undang-undang, iklan, dan papan tanda di tempat-tempat awam.       
       Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memperlengkap dan memantapkan aspek-aspek bahasa supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistem sebutan, sistem ejaan, sistem tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, laras dan gaya bahasa, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan. Bahasa sebagai suatu sistem memang perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi bahasa yang sempurna. Bahasa akan kehilangan sistemnya jika dibiarkan berkembang dengan sendirinya, dan tanpa sistem, bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sebuah negara.
Seseorang orang mungkin tidak memahami pengertian bahasa baku dengan jelas atau dengan sepenuhnya. Disebabkan kekaburan itu, bahasa baku dihubungkan dengan sebutan semata-mata. Ditambah pula dengan penguasaan bahasa yang kurang baik, terutama dari aspek tatabahasa, seseorang yang menuturkan “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, atau “banyak negara-negara...” dianggap telah menggunakan bahasa baku hanya kerana penutur itu menyebut kata para, peniaga, mereka, dan negara sebagai pa(ra), penia(ga), mere(ka), dan nega(ra) bukan pa(re), penia(ge), mere(ke), dan nega(re). Seseorang yang menuturkan “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” atau “dia memperkatakan tentang hal itu...” juga dianggap telah berbahasa baku kerana kata saya, perkara, dia, dan memperkatakan dalam pertuturannya itu disebut sebagai sa(ya), perka(ra), di(ya), dan memperka(ta)kan bukan sa(ye), perka(re), di(ye), dan memperka(te)kan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan sebutan baku lebih menggugat perhatian masyarakat berbanding dengan hasil pembakuan bahasa yang lain.

Oleh itu, pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu ditumpukan pada pembakuan agar tercapai penggunaan bahasa yang  jelas, tepat, dan berkesan dalam berkomunikasi. Usaha dijalankan untuk meningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan pengguna supaya dengannya penggunaan bahasa baku dapat menjangkau seluruh lapisan masyarakat.



No comments:

Post a Comment