Tuesday 17 April 2012

SITUASI 27:PENGARUH BAHASA ARAB


Bahasa Arab dan agama Islam sangat mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu. Status bahasa Melayu yang bertaraf lingua franca dan keunikannya telah menyebabkan agama Islam disebarkan dalam bahasa Melayu dan tidak dengan bahasa Arab. Walau bagaimanapun, bahasa Arab melalui kedatangan agama Islam telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dalam beberapa aspek, antaranya ialah dalam perbendaharaan kata,sebutan kata dan tulisan.
Dalam aspek perbendaharaan kata hampir sebahagian besar perbendaharaan bahasa Melayu meminjam perkataan bahasa Arab. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Arab yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:
Bahasa Arab
Bahasa Melayu
Syukr
Syukur
Aqal
Akal
Dunya
Dunia
Hadyah
Hadiah
Sadaqah
Sedekah
Mawt
Maut
        Sementara itu dalam aspek sebutan kata pengaruh Arab-Islam memberi kesan yang sangat besar kepada sebutan perkataan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mula dituturkan supaya menghampiri sebutan bahasa Arab, kerana masyarakat Melayu terdorong untuk membaca Al-Qur'an dengan betul. Sebutan dengan pengaruh Arab-Islam ini turut membezakan antara penutur asal bahasa Melayu (iaitu orang-orang Melayu) dengan penutur bukan asal (seperti kaum Cina, India, atau bangsa Eropah) kerana penutur bukan asal ini tidak dapat menyebut beberapa perkataan yang menerima pengaruh Arab. Contoh-contoh perkataan yang berbeza sebutan antara sebutan penutur Melayu dan penutur bukan Melayu iaitu Abdullah, maklumat, iklan dan qadhi.

Akhir sekali dalam aspek tulisan  pengaruh Arab-Islam telah menyumbangkan kepada penulisan bahasa Melayu dalam tulisan `Arab yang akhirnya disebut tulisan Jawi. Tulisan Jawi ini digunakan antara lain bagi memudahkan orang-orang Melayu yang rata-rata beragama Islam membaca Al-Quran. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila sistem pendidikan Malaysia menukar tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, ramai orang-orang Melayu mula tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik. Ia dinamakan sindrom Buta Jawi atau Buta Al-Quran. Oleh itu, pengaruh bahasa Arab banyak terdapat dalam bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment