Tuesday, 17 April 2012

SITUASI 27:PENGARUH BAHASA ARAB


Bahasa Arab dan agama Islam sangat mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu. Status bahasa Melayu yang bertaraf lingua franca dan keunikannya telah menyebabkan agama Islam disebarkan dalam bahasa Melayu dan tidak dengan bahasa Arab. Walau bagaimanapun, bahasa Arab melalui kedatangan agama Islam telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dalam beberapa aspek, antaranya ialah dalam perbendaharaan kata,sebutan kata dan tulisan.
Dalam aspek perbendaharaan kata hampir sebahagian besar perbendaharaan bahasa Melayu meminjam perkataan bahasa Arab. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Arab yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:
Bahasa Arab
Bahasa Melayu
Syukr
Syukur
Aqal
Akal
Dunya
Dunia
Hadyah
Hadiah
Sadaqah
Sedekah
Mawt
Maut
        Sementara itu dalam aspek sebutan kata pengaruh Arab-Islam memberi kesan yang sangat besar kepada sebutan perkataan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mula dituturkan supaya menghampiri sebutan bahasa Arab, kerana masyarakat Melayu terdorong untuk membaca Al-Qur'an dengan betul. Sebutan dengan pengaruh Arab-Islam ini turut membezakan antara penutur asal bahasa Melayu (iaitu orang-orang Melayu) dengan penutur bukan asal (seperti kaum Cina, India, atau bangsa Eropah) kerana penutur bukan asal ini tidak dapat menyebut beberapa perkataan yang menerima pengaruh Arab. Contoh-contoh perkataan yang berbeza sebutan antara sebutan penutur Melayu dan penutur bukan Melayu iaitu Abdullah, maklumat, iklan dan qadhi.

Akhir sekali dalam aspek tulisan  pengaruh Arab-Islam telah menyumbangkan kepada penulisan bahasa Melayu dalam tulisan `Arab yang akhirnya disebut tulisan Jawi. Tulisan Jawi ini digunakan antara lain bagi memudahkan orang-orang Melayu yang rata-rata beragama Islam membaca Al-Quran. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila sistem pendidikan Malaysia menukar tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, ramai orang-orang Melayu mula tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik. Ia dinamakan sindrom Buta Jawi atau Buta Al-Quran. Oleh itu, pengaruh bahasa Arab banyak terdapat dalam bahasa Melayu.

Monday, 16 April 2012

SITUASI 26: BAHASA BADAN


Situasi bahasa yang ingin dikongsi pada hari ini adalah berkaitan dengan bahasa badan. Setiap hari kita menggunakan bahasa badan apabila berkomunikasi dengan seseorang samada orang rapat atau jauh dengan kita. Bahasa bukan sahaja boleh dilihat dan didengar melalui pertuturan tetapi bahasa juga boleh difahami melalui lenggok tubuh badan dan bunyi. Hal ini dikatakan sebagai bahasa isyarat. 
Kita boleh menggunakan bahasa badan dalam sesuatu masa yang tertentu bagi mempamerkan perasaan atau keinginan diri. Sebagai contohnya:

      -    Muka masam tandanya seseorang itu sedang marah.
   -  Melambai tangan tandanya untuk memberitahu tentang kehadiran kita kepada orang lain.
   - Jelingan tandanya kita menyampah terhadap seseorang individu atau kumpulan.
       -  Selalu menguap menunjukkan sesorang mula berasa bosan terhadap perkara yang didengar atau dilihat.


Bahasa isyarat juga digunakan untuk berkomunikasi dengan orang bisu dan memudahkan interaksi berlaku. Setiap manusia menggunakan bahasa yang berbeza-beza walaupun tidak menggunkan ungkapan. Tetapi kita seharusnya perlu mengamalkan cara berbahasa yang baik walaupun menggunakan bahasa badan kerana setiap reaksi yang kita pamerkan ada maksudnya yang tersendiri kepada orang yang memerhati.


Friday, 6 April 2012

SITUASI 25: DIALEK TERENGGANU




Bahasa terdiri daripada sekumpulan dialek yang bersalingfahaman antara satu sama lain. Dialek-dialek yang tergolong dalam satu bahasa lazimnya mempunyai banyak ciri persamaan dan juga terdapat perbezaan . Perbezaan dialek ini dipengaruhi oleh faktor ruang dan juga geografi. 
   Bagi mereka yang bukan penutur dialek Terengganu, perkataan yang mungkin paling kerap didengar dan disebut mengenai dialek Terengganu ini ialah 'makang ikang'. Entah sebab apa dua perkataan ini sering timbul dan sentiasa disebut-sebut untuk mengaitkannya dengan dialek Terengganu. Mungkin kerana Negeri Terengganu ini kaya dengan makanan laut itu. Sebenarnya terdapat banyak lagi perkataan-perkataan loghat Terengganu yang jika disebut mungkin langsung tidak difahami. Satu lagi perkara yang sangat sinonim dengan loghat Terengganu ialah penambahan huruf 'G' di belakang perkataan. Selain itu, dialek ini sangat kaya dengan penambahan kata penguat di belakang perkataan. Sebagai contoh, 'busuk kohong', 'kohong' itu membawa maksud sangat busuk. Loghat Terengganu juga sering meringkaskan perkataan seperti perkataan 'masjid' menjadi 'sejid'.

  Terdapat tiga dialek yang berbeza di Terengganu ini, iaitu dialek di Daerah Kuala Terengganu Dungun, Kemaman dan Marang, dialek di Daerah Kuala Berang dan Dialek di Daerah Besut. Di Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Marang, dialek Terengganu pekat digunakan. Dialek ini juga digunakan oleh penduduk di sempadan Pahang. Berbeza di Daerah Besut dan sebahagian Setiu, mereka menggunakan dialek Kelantan dalam kehidupan seharian. Loghat Kuala Berang merupakan loghat yang paling unik di Negeri Terengganu, ia sangat berbeza dengan loghat Terengganu dan loghat di Besut. Seperti perkataan 'balik', loghat Kuala Berang menyebutnya sebagai 'balaik', manakala perkataan 'barangkali' disebut sebagai 'bakalai'. Banyak lagi perkataan-perkataan loghat Kuala Berang yang sangat berbeza dari loghat Terengganu.


Thursday, 5 April 2012

SITUASI 24: BAHASA RASMI


Bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya. Bahasa rasmi tidak perlu merupakan bahasa kebangsaan kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang semata-mata dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan semangat kebangsaan. Bahasa melayu telah dijadikan bahasa rasmi. Biasanya bahasa rasmi dipilih daripada salah satu bahasa anak negeri dan ada kalanya dipilih bahasa bekas penjajah. Bagi negara yang mempunyai bahasa yang maju, bahasa yang banyak laras bahasanya akan diangkat menjadi bahasa rasmi. Contohnya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi kerana bahasa ini dapat digunakan sebagai bahasa ilmu dan dapat difahami umum.

Sebagai bahasa rasmi bahasa Melayu ditetapkan menjadi sarana komunikasi dalam bidang pentadbiran. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa rasmi digunakan untuk semua urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga badan berkanun. Contohnya dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah telah menggunakan bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah bertambah baik setelah Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dipinda (Jun 1991). Selain itu, bahasa rasmi digunakan dalam penulisan surat-surat rasmi kerajaan seperti borang permohonan, minit mesyuarat, urusan pos dan dokumen peribadi iaitu sijil kelahiran. Oleh itu,penggunaan bahasa rasmi sangat dititikberatkan dalam banyak aspek dan kegiatan yang melibatkan protokol.

Wednesday, 4 April 2012

SITUASI 23: BAHASA BAKU


Bahasa baku adalah satu jenis bahasa yang menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan fungsi bahasa yang menggunakan loghat bahasa yang paling betul bagi sesuatu bahasa. Selain itu, bahasa baku juga digunakan dalam sistem pendidikan negara, dalam urusan rasmi kerajaan, dan juga dalam semua konteks rasmi. Dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat atau semasa mengajar, misalnya, kita harus menggunakan bahasa baku. Di samping itu, kita juga harus menggunakan bahasa baku dalam surat-menyurat rasmi, laporan, tulisan ilmiah, rencana, barita, peraturan, undang-undang, iklan, dan papan tanda di tempat-tempat awam.       
       Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memperlengkap dan memantapkan aspek-aspek bahasa supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistem sebutan, sistem ejaan, sistem tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, laras dan gaya bahasa, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan. Bahasa sebagai suatu sistem memang perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi bahasa yang sempurna. Bahasa akan kehilangan sistemnya jika dibiarkan berkembang dengan sendirinya, dan tanpa sistem, bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sebuah negara.
Seseorang orang mungkin tidak memahami pengertian bahasa baku dengan jelas atau dengan sepenuhnya. Disebabkan kekaburan itu, bahasa baku dihubungkan dengan sebutan semata-mata. Ditambah pula dengan penguasaan bahasa yang kurang baik, terutama dari aspek tatabahasa, seseorang yang menuturkan “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, atau “banyak negara-negara...” dianggap telah menggunakan bahasa baku hanya kerana penutur itu menyebut kata para, peniaga, mereka, dan negara sebagai pa(ra), penia(ga), mere(ka), dan nega(ra) bukan pa(re), penia(ge), mere(ke), dan nega(re). Seseorang yang menuturkan “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” atau “dia memperkatakan tentang hal itu...” juga dianggap telah berbahasa baku kerana kata saya, perkara, dia, dan memperkatakan dalam pertuturannya itu disebut sebagai sa(ya), perka(ra), di(ya), dan memperka(ta)kan bukan sa(ye), perka(re), di(ye), dan memperka(te)kan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan sebutan baku lebih menggugat perhatian masyarakat berbanding dengan hasil pembakuan bahasa yang lain.

Oleh itu, pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu ditumpukan pada pembakuan agar tercapai penggunaan bahasa yang  jelas, tepat, dan berkesan dalam berkomunikasi. Usaha dijalankan untuk meningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan pengguna supaya dengannya penggunaan bahasa baku dapat menjangkau seluruh lapisan masyarakat.



Tuesday, 3 April 2012

SITUASI 22: BAHASA TERSIRAT


Bahasa tersirat merupakan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud  tetapi tidak disampaikan secara terus. Cara penyampaian bahasa ini juga lebih bersopan dn tidak menggunakan nada menyindir seperti dalam bahasa sindiran. Bahasa tersirat juga digunakan untuk menyampaikan maksud penolakan tetapi tidak  disampaikan sehingga menyakitkan hati penutur kedua. Selain itu, bahasa tersirat juga berkehendakan penutur pertama supaya perbualan tersebut dapat berjalan dengan lancar. Kegagalan penutur kedua untuk memahami maksud penutur pertama yang menggunakan bahasa tersirat boleh menyebabkan salah faham dalam konteks perbualan. Contohnya:

1)    Apabila seorang Datuk Bendahara berkata kepada sultan, “Patik kurang periksa, tuanku,” ia tidak bermaksud beliau sebagai orang besar yang tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa sesuatu hal. Namun, secara tersirat kata-kata itu bermaksud, “Aku tak tahulah”.










     2) Dalam upacara peminangan, jika seorang ayah berkata kepada satu rombongan peminangan, “Anak saya baru habis belajar, belum pun dapat kerja lagi”. Berdasarkan ayat tersebut ia bukan bermaksud beliaun menyuruh anaknya mendapat pekerjaan. Namun,secara tersirat bermaksud. “Saya rasa anak saya tidak sesuai kahwin dengan anak kamu ”.

Ini adalah bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan hati pihak lain. Masalah sering timbul apabila mesej yang cuba disampaikan tidak diterima dengan baik, lalu disalah anggap oleh pihak tersebut.Berdasarkan ayat tadi, jika mesej tidak diterima dengan betul, sultan mungkin berkata, “Kalau kurang periksa, pergilah periksa sampai habis,”. Selain itu, jika mesej tidak diterima dengan betul oleh pihak rombangan peminangan tadi mungkin berkata, “Bertunanglah dahulu, nanti dah dapat kerja, kahwinlah.”
Komen
Bahasa tersirat banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Untuk menjadi seorang pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Hal ini penting supaya bahasa tersirat yang cuba disampaikan dapat difahami dengan baik dan tidak disalah anggap.

Monday, 2 April 2012

SITUASI 21: RUANG LINGKUP UNGKAPAN



Ungkapan yang indah sering meniti dibibir masyarakat Melayu kerana ungkapan yang digunakan mengandungi pelbagai nasihat dan maksud yang mendalam. Ungkapan ialah rangkai kata atau frasa, klausa, ayat yang tersimpul dan mempunyai pengertian konotasi. Terdapat pelbagai ruang lingkup ungkapan yang digunakan oleh masyarakat Melayu iaitu:


a)    Bidalan
Menurut Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Rain Shaari (2009:79) bidalan adalah  sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan sebagainya kepada masyarakat disamping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna.

Contoh:
Berjalan peliharalah kaki, berkata peliharalah lidah(Maksud: Seseorang yang perlu berfikir dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan).

b)    Pepatah-petitih
Menurut Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Rain Shaari(2009:133) pepatah adalah sifat rangkaian kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran serta ungkapan-ungkapan yang dibentuk berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan.

Contoh:
Air besar, sampan tak hanyut(Maksud: Perkara yang diharapkan tidak menjadi).

c)    Kata-kata pujangga
Kata-kata pujangga adalah kata-kata yang berunsurkan nasihat dan pedoman yang diucapkan oleh tokoh-tokoh berpengaruh serta disegani kerana sesuai dijadikan motivasi dan pengisian jiwa.

Contoh:
Apabila anda benar : Anda tak perlu marah. Apabila Anda Salah : Anda tak boleh Marah
-Mahatma Gandhi-

d)     Hadis melayu
Hadis ialah perbuatan atau kelakuan Nabi Muhamad s.a.w yang diriwayatkan oleh sahabat-sahabatnya untuk menjelaskan atau menentukan sesuatu hukum Islam. (http://dict.rewaz.org/search/browse/hadis.re)
Contoh: "Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu mengikut apa yang diniatkannya" (Hadis Riwayat Bukhari).
Hadis melayu adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasullulah s.a.w (http://komuniti.ipij.info/modules/newbb/viewtopic.php?viewmode=thread&topic_id=54&forum=12&post_id=2476&menumode=2).

Contoh: Melarang anak-anak kecil yang belum baligh berada dalam saf yang sama dengan orang dewasa semasa bersolat. Alasannya kerana kanak-kanak itu masih najis kerana masih belum berkhatan.

e)    Perbilangan
Perbilangan adalah perkataan yang disusun berbilang-bilang dan dituturkan bait demi bait atau susunan kata yang berkerat-kerat dan disebut satu persatu seperti orang membilang sesuatu (http://ms.wiktionary.org/wiki/Wiktionary:Perbilangan).
Contoh:
Penakek pisau seraut
Ambil galah batang lintubong
Seludang ambil ke nyiru
Setitis jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru.

f)     Gurindam
Gurindam adalah sejenis puisi lama yang terdiri daripada dua baris rangkap yang berpasangan iaitu baris pertama sebagai syarat dan baris kedua sebagai jawapan (Ariff Mohamad dan Siti Khariah Mohd Zubir, 2009: 18).
Contoh :  
                  Apabila terpelihara mata,
 Sedikit cita-cita.                                         
 Apabila terpelihara kuping,
 Khabar yang jahat tidaklah damping
 Apabila terpelihara lidah,
 Nescaya dapat daripadanya faedah.
g)    Seloka
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir(2007:360) seloka adalah sejenis puisi Melayu tradisional yang berbentuk karangan berangkap yang mengandungi unsur ejekan,giatan, sindiran, jenaka atau gurau senda dan digunakan untuk menyindir sambil mengajar.
Contoh:   
                  Buah pinang buah belimbing
Ketiga dengan si buah mangga,
Sungguh senang berbini sumbing,
Walau marah ketawa juga.

h)     Tamsil
Menurut Kamus dewan edisi keempat tamsil adalah perihal sesuatu benda yang kelihatan dari luar atau sifat sesuatu pada lahirnya.
Kiasan asal yang diperluaskan dengan lebih panjang lebar serta mengandungi beberapa isi pengajaran, nasihat, teladan serta pemikiran yang bernas.

Contoh: Matahari dengan cahaya dengan panas.

i)      Peribahasa
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir(2007:318) peribahasa adalah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu.

Contoh: Pandang jauh dilayang, pandang dekat ditukikkan.

j)      Simpulan bahasa
Menurut Za’ba (1965) simpulan bahasa adalah rangkaian perkataan yang tetap disimpul atau terbeku dengan susunan yang khas dan dipakai dengan maksud yang berlainan daripada asa.
Contoh:      
                -  Jinak merpati
-      Kaki ayam

k)     Ibarat
Kiasan yang sering menggunakan perkataan 'ibarat' untuk membuat perbandingan tentang sesuatu perkara. Ia bertujuan untuk menjadikan maksudnya bertambah nyata. (http://ms.wiktionary.org/wiki/Wiktionary:Ibarat)

Contoh: Ibarat bunga, segar dipakai, layu dibuang

l)     Perumpamaan
Perumpamaan adalah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberikan makna khas dan berlainan daripada apa yang dikatakan atau ditulis, atau yang membandingkan sesuatu benda dengan benda yang lain
(http://ms.wiktionary.org/wiki/Wiktionary:Perumpamaan).
Contoh:
-          Bagai bulan dipagari bintang
-          Bagai menatang minyak yang penuh